Friday, October 29, 2010

Tugasan 3: Seni Bina Islam

1.0       Pengenalan

Sejarah seni bina ialah rentetan daripada peristiwa tentang reka bentuk dan peradaban manusia yang dikaitkan dengan bangunan. Sejarah seni bina memainkan peranan yang penting dalam proses mereka bentuk sebuah bangunan. Pada abad pertengahan, dikatakan zaman perkembangan seni bina Islam yang dianggap sebagai tempoh yang sungguh berkesan dan penting bagi orang Islam terutama dalam perkiraan mengisi rentetan sejarah dunia. Hubung kait seni bina sangat rapat dengan perkembangan Islam itu sendiri yang telah menerpa sejarah kehidupan tamadun orang Islam hingga sampai ke kemuncak kegemilangannya. Sebagai salah satu bahagian daripada kebudayaan Islam itu sendiri, seni bina Islam merupakan hasil usaha manusia yang dinyatakan dalam matlamatnya memenuhi tuntutan jasmani dan rohani; keperluan jasmani kerana seni bina Islam merupakan objek yang berupa bangunan-bangunan yang digunakan untuk menampung aktiviti-aktiviti hidup manusia, sedangkan rohani kerana Islam dikatakan mempunyai pengaruh yang mendalam terhadap menguasai kehidupan kejiwaan manusia.

            Dalam seni bina Islam, perkara utama yang dititikberatkan dalam seni bina Islam ialah mendirikan masjid sebagai bangunan tempat ibadah. Masjid yang dibina juga hendaklah menggambarkan ciri-ciri kesepaduan bangunan selaras dengan fungsi masjid yang secara langsung menetapkan unsur seni bina Islam berpandukan prinsip-prinsip yang ditentukan oleh Allah S.W.T yang mesti dilaksanakan sebaik-baiknya. Oleh yang demikian, selari dengan perkembangannya, maka muncul berbagai-bagai-bagai unsur penambahan keindahan yang berupa kelengkapan, hiasan dan penyertaan gaya dekoratif-ornamentif yang selanjutnya menjadi unit penting seni bina masjid.

2.0       Jenis-Jenis Masjid

2.1       Masjid Quba

Seni bina masjid berkembang dengan terbinanya pada tahun pertama Hijrah (622 T.M) Masjid Quba, iaitu masjid pertama yang didirikan oleh Nabi Muhammad a.s.w selepas baginda berhijrah ke Madinah. Seni bina masjid itu amat ringkas dan sederhana, sesuai dengan ajaran Islam yang mengutamakan pembentukan akhlak, tanggungjawab beribadah dan soal-soal lain yang berkaitan dengan kebudayaan. Selain untuk bersolat, masjid Quba juga menjadi tempat bermesyuwarah. Masjid Quba didirikan di atas tanah lapang dan mempunyai ruang sembahyang yang dilingkungi tembok yang diperbuat daripada tamar, berbentuk segi empat dengan keluasan kira-kira 50 meter persegi. Tinggi dindingnya adalah kira-kira 3.5 meter. Di sebelah baratnya didirikan lindungan (al-mizallah) yang diperbuat daripada batang tamar yang diikat dengan tanah liat. Di penjuru tenggaranya dibina sembilan bilik yang menjadi tempat kediaman Nabi Muhammad s.a.w dan keluarganya. 

             Masjid pertama itu mempunyai bumbung di bahagian tepi (serambi keliling) atau ruang riwaqs (cloister). Bumbung serambi yang beratap daun tamar disokong oleh sebilangan tiang yang diperbuat daripada batang tamar, Masjid tersebut mempunyai sebuah mimbar yang diperbuat daripada batang tamar.

2.2       Masjid Nabawi

Setelah terdirinya Masjid Quba, Nabi Muhammad s.a.w meneruskan perjalanannya ke Madinah atau dikenali ketika itu sebagai Yathrib. Di sini, Nabi Muhammad s.a.w telah meminta para sahabatnya membina sebuah masjid yang kemudiannya dinamakan Masjid Nabi atau Nabawi dan kadangkala disebut Masjid Besar. Pembinaan masjid ini masih terikat kuat kepada kehendak fungsional agama Islam wakti itu. Seni binanya sederhana, berbentuk segi empat, mempunyai halaman dalam atau shaan dan sebahagian lagi ialah bangunan yang berbumbung di sekeliling bangunan atau riwaqs. Seni bina asal Masjid Nabawi berasaskan seni bina Masjid Quba. Perkembangan kemudiannya pada kedua-dua masjid itu menampakkan unsur-unsur yang diilhamkan daripada bangunan Masjidil Haram di Mekah. Dalam tahun 700 T.M., Masjid Nabawi diperbaharui atas perintah Khalifah Walid Abdul Malik (705-15 T.M). Kemudiannya bangunan Masjid Nabawi disambungkan dengan bangunan Makam Rasulluah s.a.w. dan seterusnya empat buah menara dibina serta kubah berbentuk potong bawang. Kerja pembesaran masjid ini siap pada tahun 1955 T.M. dan pembesaran selanjutnya berakhir pada pertengahan tahun 1980-an. Hari ini, Masjid Nabawi berdiri tersegam indah sebagai satu contoh seni bina Islam.

2.3       Masjidil Haram

Seni bina Masjidil Haram merupakan asas yang diikuti dalam pembinaan semula Masjid Quba, Masjid Nabawi dan juga pembinaan masjid lain pada zaman pemerintahan khalifah selepas nabi wafat, seperti Masjid Kufa (633-39 T.M), Masjid Ibnu Tulun Mesir (876-79 T.M), Masjid Cordoba, Andalusia (Sepanyol) (785 T.M) dan masjid lama yang lain. Oleh sebab Islam pada ketika itu lebih menekankan sistem tingkah laku yang berasaskan akidah dan etika, maka aspek seni yang berlandaskan estetik masih belum merupakan soal pokok. Pada masa itu, bentuk seperti gerbang kubah (iwan) dan lain-lain yang berlandaskan estetik masih belum diperkenalkan kepada seni bina masjid seperti yang berlaku pada seni bina masjid ada abad ketiga belas dan berikutnya. Pada tahun 1970-an dan 1980-an ruang serambi Masjidil Haram di perbesarkan lagi dan pada tahun 1991, di ruang serambi Masjidil Haram yang berhubung itu telah dipasang alat penyaman udara untuk keselesaan jemaah.

3.0       Kesimpulan
Kesimpulannya seni bina masjid jelas memperlihatkan terdapatnya pengaruh kebudayaan setempat. Disebabkan itulah, seni bina masjid, dalam sejarah perkembangannya di seluruh dunia, memperlihatkan berbagai-bagai-bagai gaya hingga wujudnya pelbagai reka bentuk masjid seperti masjid gaya Arab, gaya Arab-Sepanyol, gaya Parsi (Iran), gaya Turki Usmaniah, gaya India, gaya Cina dan gaya Melayu-Nusantara. Seni bina akan sentiasa berubah dan berkembang dari masa ke semasa. Perkembangan ini melibatkan gaya dan bentuk yang dipengaruhi oleh sikap manusia yang suka meniru.

            Seni bina masjid dianggap sebagai pusat segala kegiatan keislaman dan dari situ jugalah terpancar segala aktiviti kesenian. Seni kaligrafi yang indah dan hiasan arabes yang mengagumkan terukir di ruang masjid akan melahirkan keharmonian kepada sesiapa sahaja yang beribadat di dalamnya. Wajah kesenian yang tinggi nilainya dalam penjelmaan bentuk-bentuk estetik menggambarkan ruang kekudusan jiwa manusia yang tersentuh oleh penikmatan visual. Di samping menolak slogan seni untuk seni dan seni untuk masyarakat, kesenian Islam berupaya menanamkan rasa ketegangan kepada jiwa manusia lantaran hubungan padunya dengan Allah S.W.T.

            Seni bina tidak ada batas pemisah, dan tiada peraturan yang dapat menyekat perkembangannya. Begitu juga dengan masjid, iaitu bangunan yang menjadi lambang Islam, telah memberikan umat Islam di rantau ini berfikir dan berikhtiar supaya bangunan masjid tidak kaku dengan satu bentuk yang menjemukan. Kesenian Islam telah melalui berbagai-bagai zaman dan telah mencapai kegemilangannya ketika umat Islam teguh dan bergantung penuh pada kekuatan iman dan ilmu pengetahuan. Kecintaan terhadap ilmu, kesatuan sebagai satu umat mendorong umat terdahulu mencipta peradaban dalam pelbagai lapangan termasuklah kesenian yang tiada tolok bandingnya.

Bibliografi

Abdul Halim Nasir. (1995). Seni Bina Masjid di Dunia Melayu-Nusantara. Selangor: Universiti
Kebangsaan Malaysia.

Manja Mohd. Ludin. (1995). Aspek-Aspek Kesenian Islam. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan
Pustaka.

Mohamad Tajuddin Mohamad Rasdi. (2008). Seni Bina. Sejarah, Teori dan Kritikan. Johor:
Universiti Teknologi Mara.

3 comments: