Sunday, October 10, 2010

Sebuah Catatan

Oleh: Azman Ismail
(yang membuat liputan Program Titian Budaya Malaysia-Singapura di Singapura baru-baru ini)



APAKAH seni lukis? Apakah lukisan? Dan, apakah seniman? Tiga pertanyaan yang terdengar klasik kerana ia terlalu sering dilontar atau dipertanyakan tanpa diberi sebuah kesimpulan yang lengkap.Sebenarnya persoalan-persoalan di sekitar dunuia tampak tersebut dapat diukur dan dirumuskan dengan pendekatan formalisme (kepatuhan kepada peraturan yang telah ditetapkan).

Formalisme bukanlah aliran baru. Ia telah lama diperdebatkan, dikupas dan ditafsir oleh sarjana-sarjana di seluruh dunia sebagai sebuah wacana dalam bidang seni tampak dan kesusasteraan. Formalisme Rusia (dalam wilayah susastra) misalnya berpandangan bahawa ada hal yang membuat suatu tulisan disebut atau dikategorikan sebagai sebuah puisi.

Menurut pengikut aliran tersebut, hal yang menentukan pengkaryaan sebuah puisi atau karya seni bukanlah subjek yang disampaikan atau tema yang diangkat oleh puisi atau karya seni tersebut. Sebuah tulisan menjadi puisi bukan kerana mengangkat sesebuah tema, misalnya keabsurdan keberadaan manusia tetapi ia sebuah sajak kerana penggunaan bahasa yang puitis.

Kepuitisan inilah, yang terdiri dari sekumpulan perkakas-perkakas ungkapan (expressive devices), yang membuat suatu tulisan disebut sebagai puisi. Dalam puisi, kepuitisan ini terbangun oleh rima, ritma, jumlah bait dan lain-lain.

Begitu juga dalam seni tampak dalam konteks formalisme. Perkakas-perkakas ungkapan tersebut menjadi bahasa visual untuk mendokumentasi pelbagai aspek untuk penceritaan.
Dengan kata lain, penalaran Formalisme Rusia dalam dunia susastra tersebut dapat diterapkan dalam wilayah seni tampak dengan melontarkan pertanyaan "apakah yang membuat suatu lukisan dipandang sebagai suatu karya seni?"

Dalam menjawab pertanyaan tersebut, perkakas-perkakas ungkapan itu dicernakan oleh seseorang pelukis (seniman) melalui penciptaan gambar pada kanvas atau kertas dengan kekuatan kreativiti masing-masing. Oleh itu, jika sesebuah lukis tidak mampu melontarkan perkakas-perkakas ungkapan ia selantang apapun tema yang digambarkan atau sekritis apapun analisis sosial yang terkandung dalam lukisan, tidak berhak disebut sebagai sebuah karya seni jika 'kosong' dari aspek pemikirannya.

Pandangan formalisme ini pada dasarnya merupakan sebuah usaha untuk mengisi "kekosongan-arah" setelah dicapainya kebebasan kesenian yang terkandung di dalam ungkapan l'art pour l'art (seni untuk seni). Teriakan l'art pour l'art bukanlah kejayaan kelompok borjuis, tapi ia merupakan kegirangan setelah ditemukan wilayah eksplorasi dunia seni ternyata terbentang amat luas.

Oleh kerana itu, formalisme dapat disebut sebagai medium kepada kemerdekaan seni dunia. Ia menandakan kebebasan daripada kehendak dan peraturan yang ditetapkan oleh gereja dan istana (era Formalisme Rusia). Budaya MalaysiaPersoalan perkakas ungkapan dan kesedaran formalisme seni tampak moden inilah yang menjadi sebahagian daripada proses penghasilan pameran solo pelukis S. Amin Shahab, The One Kilometre World.

Pameran karya yang menggunakan medium pen dan dakwat di atas kanvas tersebut berlangsung di Muzium Seni Singapura sempena Program Titian Budaya Malaysia-Singapura, baru-baru ini. The One Kilometre World merupakan catatan visual S. Amin ketika menjengah dan menekuni serta mengkaji kesan-kesan peradaban awal manusia hingga era sebelum Perang Dunia Kedua di seluruh dunia. Pengalaman-pengalaman tersebut digambarkan pada kanvas yang merupakan 'buku catatan' yang menggambarkan bentuk-bentu seni bina awal dalam ketamadunan Mesir Purba, China atau suku Mayan dan Inca di Amerika Selatan.

Malah, keagungan Nusantara khususnya Melaka sebagai pusat perdagangan dan perkembangan Islam dunia pada abad ke-15 tidak terlepas daripada mata pena S. Amin. Pameran tersebut dirasmikan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan warisan, Datuk Shafie Apdal. Ia turut dihadiri oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kesenian Singapura, Dr. Lee Boon Yang.

Oleh itu, apa erti sebenar karya sepanjang satu kilometer dalam konteks formalisme dan kebebasan seni lukis? Melalui karya tersebut beliau menemukan kebebasan seninya. Dalam hal ini, perkakas-perkakas ungkapannya menyuarakan pelbagai aspek. Pertama; nilai-nilai ketamadunan luar biasa yang dicapai oleh manusia awal. Kedua; pertembungan antara tradisionalisme dan modenisme akibat wujudnya kolonialisme. Di sisi lain, beliau menampilkan erti sebenar modenisme sebagai sebuah ruang universal. Ertinya aliran itu bukanlah suatu pemahaman yang khas bagi masyarakat Eropah, tapi ia merupakan faham yang lebih merdeka bagi segenap umat manusia disemua penjuru dunia.

Pemahaman itulah yang diterapkan ke dalam pembuatan karyanya meskipun ia sebahagian besar mencatat secara visual nilai-nilai tradisionalisme dan perubahan waktu dalam kehidupan dan peradaban awal manusia. Waktu dalam kesedaran moden bersifat garis lurus. Ia difahami sebagai sesuatu yang berlangsung pada titik yang dimulai dengan suatu kelahiran menuju titik lain yang akhir, iaitu kematian. Frederich Hegel menggambarkannya sebagai sebuah pergerakan titik-titik perkembangan intelektual manusia.

Persoalan inilah yang cuba diungkapkan oleh S. Amin supaya manusia mengambil pengajaran daripada keruntuhan tamadun masa lalu yang disebabkan oleh perang dan nafsu serakah untuk membina masa depan yang lebih sejahtera.

No comments:

Post a Comment