1.0 Pengenalan
Pembelajaran adalah sebahagian dari kehidupan manusia dan proses ini boleh berlaku bila-bila dan di mana-mana sahaja sama ada secara formal atau pun tidak formal. Dalam proses pembelajaran secara formal, guru haruslah mengenali jenis personaliti para pelajarnya untuk menghasilkan proses pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Ini adalah kerana setiap pelajar itu berbeza dan memiliki sifat yang unik disebabkan oleh suasana persekitaran dan perwarisan yang berbeza di antara mereka (Norasmah et al. 2003).
Pembelajaran merupakan satu proses berterusan. Dalam proses ini pelajar dikehendaki melalui pengalaman seperti mendapat penerangan guru, membuat latihan bertulis atau amali sehingga berlaku perubahan dalam diri pelajar. Robert M. Gagne (1970) dalam bukunya ‘The Condition of Learning’ mendefinisikan pembelajaran sebagai perubahan tingkah laku atau kebolehan seseorang yang dapat dikekalkan, tidak termasuk perubahan yang disebabkan proses pertumbuhan. Menurut Mayer (1982), pembelajaran merupakan perubahan kekal dalam pengetahuan seseorang melalui pengalaman. Driscoll (1994) pula menyebut bahawa pembelajaran adalah perubahan prestasi secara berterusan dalam diri manusia hasil dari interaksi pembelajaran dengan persekitaran. Oleh itu pembelajaran merupakan satu proses yang mengubah keadaan, sikap, pengetahuan manusia menerusi pengalaman.
Selain itu, menurut pandangan ahli kognitif, pembelajaran boleh ditakrifkan sebagai satu proses dalaman yang menghasilkan perubahan tingkah laku yang agak kekal. Manakala aliran behavioris pula berpendapat bahawa pembelajaran ialah perubahan dalam tingkah laku, iaitu cara seseorang bertindak dalam suatu situasi. Dalam psikologi humanis pembelajaran dianggap proses yang dapat membantu seseorang mencapai sempurna kendiri dan nilai individu. Pelbagai pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran masih diperlukan memandangkan perbezaan gaya pembelajaran setiap pelajar. Oleh itu, beberapa jenis pembelajaran akan dibincangkan, antaranya ialah Pembelajaran Penemuan, Pembelajaran Kostruktivisme, Pembelajaran Berasaskan Masalah dan seterusnya pembelajaran yang berasaskan Projek.
2.0 Pembelajaran Penemuan
Pembelajaran Penemuan merupakan salah satu model pengajaran yang diasaskan kepada prinsip-prinsip Konstruktivisme. Pembelajaran Penemuan ini diasaskan dengan pendekatan memproses dari atas ke bawah ‘top –down processing approach’ yakni pelajar terlibat secara aktif dan menggunakan pengetahuan terdahulu serta diandaikan bahawa pengetahuan berubah secara berterusan. Dalam pendekatan atas ke bawah ini, pelajar akan bermula dengan menganalisis masalah yang kompleks seterusnya menemui kemahiran-kemahiran asas yang diperlukan semasa mereka bekerja.
Pembelajaran Penemuan yang dicadangkan oleh Jerome Bruner pada tahun 1966, merupakan model kognitif yang paling berpengaruh kerana ia mempunyai banyak aplikasi kepada sains dan bidang yang berkaitan. Menurut Bruner, Pembelajaran Penemuan tidak terhad pada sesuatu perkara atau objek yang belum diketahui oleh manusia, tetapi ia meliputi sebarang aktiviti yang menggunakan otak dan juga usaha sendiri untuk mendapatkan suatu ilmu. Walaupun ilmu pengetahuan yang diperoleh bukanlah suatu yang baru dan belum diketahui, namun jika ia diperoleh melalui daya usaha pelajar maka ia boleh dikategorikan sebagai penemuan. Pendekatan Pembelajaran Penemuan tidak mempunyai model pengajaran yang tertentu tetapi dilaksanakan mengikut kesesuaian subjek dan pelajar yang terlibat. Terdapat langkah-langkah umum yang digariskan oleh Bruner. Antaranya ialah pertama pembentukan masalah yang dapat menarik minat pelajar, kedua ialah membangkitkan minat pelajar terhadap ketidakpastian masalah, ketiga ialah menyatakan pelbagai hipotesis yang mungkin, keempat ialah membantu pelajar mencari dan mengorganisasikan maklumat, kelima ialah memandu pelajar menilai dan membuat kesimpulan, dan keenam ialah memandu pelajar menganalisis kesimpulan yang diperoleh untuk menyelesaikan masalah.
Dalam Pengajaran Penemuan, guru bertindak sebagai pereka bentuk, pemudah cara dan pembekal bahan serta menggalakkan pelajar melibatkan diri secara aktif untuk menemui teori atau kesimpulan tertentu. Kaedah Pengajaran Penemuan ini, guru tidak akan membekalkan jawapan sebaliknya memberi peluang kepada pelajar memikir dan menemui ilmu sendiri. Menurutnya lagi, penemuan taakulan induktif merupakan kaedah terbaik untuk memperoleh pengetahuan berbentuk hukum dan konsep (terutamanya dalam mata pelajaran sains) untuk meningkatkan prestasi dalam ingatan jangka panjang dan penguasaan untuk menyelesaikan masalah.
2.1 Pembelajaran Konstraktivisme
Konstraktivisme adalah istilah yang digunakan bagi mewakili satu koleksi teori yang diasaskan daripada idea bahawa individu secara aktif membina pengetahuan dan bersama-sama bekerja untuk menyelesaikan masalah. Secara asasnya konstraktivisme merupakan satu teori yang diasaskan kepada pemerhatian dan kajian saintifik mengenai bagaimana manusia belajar. Ia menyebut bahawa manusia membina pemahaman dan pengetahuan mereka terhadap dunia melalui pengalaman yang ditempuhi dan bertindak balas ke atas pemancaran semula pengalaman tersebut. Apabila kita menemui sesuatu yang baru, kita terdorong untuk menyesuaikannya dengan idea dan pengalaman yang lepas, mungkin kita terpaksa mengubah apa yang kita percayai, atau mungkin kita akan menyingkirkan maklumat-maklumat baru kerana ia tidak berkaitan. Dalam banyak perkara, kita merupakan pencipta yang aktif kepada pengetahuan kita. Bagi pelaksanaan ini, kita harus bertanya, meneroka, menjajah dan menilai apa yang kita ketahui.
Dalam konsep Pembelajaran Konstraktivis von Glasersreld (1995b), telah menyebut bahawa peranan sebagai seorang isteri “miswife in the birth of understanding” yang bertentangan dengan peranannya sebagai “mechanics in the birth of understanding”. Peranan mereka bukan memberi pengetahuan kepada para pelajar tetapi memberi peluang untuk membinanya sendiri. Guru merupakan sebagai pemandu dan pelajar sebagai pemberi makna “sense makers” (Von Glasersfeld, 1996 dan Mayer, 1996). Bagi pandangan Gergen (1995) guru adalah sebagai penyelaras, fasilitator, penasihat sumber, tutor dan coaches. Konstraktivisme merupakan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang diasaskan kepada penyataan yang menganggap bahawa kognisi adalah hasil daripada konstruksi mental. Dengan kata lain, pelajar belajar dengan memasukkan maklumat baru bersama-sama dengan apa yang telah diketahui oleh mereka. Konstraktivisme juga mempercayai bahawa pengajaran adalah signifikan melalui konteks yakni sesuatu idea diajar dan melibatkan kepercayaan serta sikap pelajar. Pengajian konstraktivisme diasaskan kepada penyelidikan semasa tentang otak manusia dan apa yang diketahui mengenai bagaimana pembelajaran berlaku.
2.2 Pembelajaran Berasaskan Masalah
Pembelajaran Berasaskan Masalah merupakan satu kaedah pembelajaran yang menggunakan masalah sebenar yang relevan serta bermakna sebagai fokus dalam proses pembelajaran (Universiti Teknologi Malaysia 2005). Kaedah ini merupakan satu struktur kurikulum dan sistem penyampaian yang hanya tertumpu kepada keperluan memperkembangkan kemahiran penyelesaian masalah serta sebagai keperluan membantu pelajar untuk menguasai pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan. Pembelajaran jenis ini dapat membantu kita untuk menyelesaikan masalah melalui proses bertindak balas terhadap masalah yang dihadapi oleh orang-orang dewasa dan profesional. Pembelajaran Berasaskan Masalah merupakan pembelajaran berterusan. Pembelajaran Berasaskan Masalah juga merupakan satu cara untuk mengajar kursus dengan menggunakan masalah sebagai satu rangsangan dan fokus kepada aktiviti pelajar. Pembelajaran jenis ini bukanlah satu selitan aktiviti menyelesaikan masalah dalam sesebuah kursus tetapi sebuah cara menyampaikan pengajaran dengan masalah sebagai pusat. Menurut Boud dan Feletti (1991) titik permulaan pengajaran mestilah satu masalah, satu pertanyaan atau satu puzzle yang pelajar teringin hendak menyelesaikannya. Maklumat bagaimana hendak menangani masalah itu tidak diberi, walaupun sumber yang berkaitan boleh didapati.
Menurut Graaff dan Kolmos (2003), konsep Pembelajaran Berasaskan Masalah bersandarkan kepada pelbagai teori seperti Teori Kolb yang memperkenalkan teori pembelajaran berasaskan kepada pengalaman. Schon pula memperkenalkan teori pembelajaran berdasarkan refleksi manakala Jean Piaget, Vygotsky, Lave dan Wenger pula memperkenalkan teori konstraktivisme dan teori pembelajaran sosial. Bertitik tolak daripada teori-teori ini, maka konsep Pembelajaran Berasaskan Masalah telah dibentuk. Dalam pembelajaran ini, para pelajar diberikan suatu masalah atau situasi dan dikehendaki menyelesaikannya dengan mencari input-input daripada buku, jurnal, surat khabar, risalah, internet dan organisasi-organisasi yang terlibat. Dalam situasi ini, guru hanya bertindak sebagai pembimbing atau fasilitator kepada para pelajar berkenaan. Boud dan Felitti (dalam Ousey 2003) mendefinisikan pembelajaran ini sebagai satu falsafah bagi suatu kurikulum yang baru. Hal ini bermaksud guru bukanlah satu-satunya sumber ilmu atau rujukan oleh pelajar. Justeru, pelajar boleh mendapatkan pengetahuan dan maklumat dari sumber-sumber lain.
2.3 Pembelajaran Berasaskan Projek
Pengajaran Berasaskan Projek merupakan suatu kaedah pengajaran dan pembelajaran yang semakin pesat berkembang pada zaman ini. Pembelajaran ini menekankan kolaborasi antara guru dan pelajar ketika mempelopori sesuatu perkara atau topik secara penyempurnaan projek. Kementerian Pelajaran Malaysia (2006) mentafsirkan Pembelajaran Berasaskan Projek sebagai model aktiviti yang keluar daripada amalan bilik darjah yang biasa dan banyak melibatkan gabungan antara disiplin ilmu. Pengajaran Berasaskan Projek merupakan suatu kaedah pengajaran yang menekankan kajian dalam bentuk projek sebagai salah satu cara murid-murid memperoleh ilmu. Kaedah ini menekankan pembelajaran kendiri serta amalan penerokaan oleh murid. Mengikut Poh (2003), projek ditakrifkan sebagai tugas, pembinaan atau siasatan yang teratur yang akan menjurus kepada matlamat yang spesifik. Ianya boleh dilaksanakan untuk menggalakkan murid menggunakan kemahiran proses sains. Selain dari itu projek juga boleh dibuat berdasarkan keperluan topik serta mengikut minat murid atau untuk pameran sains.
Pembelajaran Berasaskan Projek melibatkan pendekatan berfokus kepada murid yang meneroka sendiri. Perkembangan Pembelajaran Berasaskan Projek yang dikembangkan penggunaanya kerana ia lebih efektif dalam penyelesian pemasalahan berkaitan pembangunan gerak kerja projek. Konsep ini bermula pada 1987, dimana Pihak BIE (Buck Institute for Education) mengembangkan hasil penemuan Leonard dan Berryl Buck Trust. Pengajaran dan Pembelajaran Berasaskan Projek boleh juga dilakukan secara individu atau kumpulan berdua atau bertiga di bawah bimbingan yang minima oleh guru. Kementerian Pelajaran Malaysia melalui ”Handbook- Project Based Learning” menekankan kaedah ini sebagai strategi pembelajaran yang membawa pelajar mempelopori ilmu keluar daripada tradisi bilik darjah lama yang memfokuskan guru sebagai pemberi ilmu. Kaedah ini melibatkan penerokaan ilmu melalui pemerhatian serta kajian di lapangan atau dunia sebenar.
3.0 Ulasan
Dalam kaedah Pembelajaran Penemuan, para pelajar akan menganalisis masalah yang kompleks dan kemudiannya menemui kemahiran-kemahiran asas yang diperlukan semasa mereka bekerja. Dalam Pembelajaran Penemuan, pembelajaran ini akan menggalakkan para pelajar untuk menemui sendiri prinsip-prinsip untuk diri mereka melalui percubaan-percubaan dan penjelajahan. Tugas guru pula hanya memberikan panduan apabila diperlukan. Namun tidak semua pelajar dibenarkan untuk menjelajah sesuatu masalah sendiri dengan menggunakan pengetahuan dan pengalaman lalu, motivasi personal dan eksperimentasi. Bagi mata pelajaran Pengajian Am, kaedah ini kurang sesuai digunakan. Kaedah Pembelajaran penemuan lazimnya lebih sesuai dengan pembelajaran sains yang kebanyakan aktiviti pembelajarannya melibatkan eksperimen. Oleh yang demikian, pembelajaran menggunakan kaedah penemuan tidak sesuai digunakan bagi subjek Pengajian Am di sekolah.
Bagi kaedah Pembelajaran Konstraktivisme, para guru akan mengetengahkan soalan dan masalah dan kemudiannya akan memandu para pelajar untuk mencari jawapan mereka sendiri. Dalam kaedah Pembelajaran Konstraktivisme para pelajar akan menggunakan pelbagai teknik dalam proses pembelajaran mereka. Antaranya ialah, guru akan meminta para pelajar untuk membentuk soalan-soalan mereka sendiri. Selain itu juga guru akan membenarkan pelbagai interpretasi dan ekspresi pembelajaran. Dalam pembelajaran ini, para pelajar juga digalakkan kerja secara berkumpulan dan menggunakan rakan sebaya sebagai sumber untuk mendapatkan maklumat. Dalam kaedah Pembelajaran Konstraktivisme, para pelajar telah bersedia dan mempunyai pengetahuan, idea serta pemahaman terhadap sesuatu mata pelajaran. Guru hanya akan memandu, mensederhanakan, memoderasi, mencadangkan dan membenarkan mempunyai ruang untuk menyoal, membuat percubaan dan cuba melaksanakan perkara-perkara yang tidak boleh berfungsi. Kaedah Pembelajaran Konstraktivisme bergantung sepenuhnya dengan kerjasama di kalangan pelajar. Apabila mereka belajar bersama-sama mereka boleh mencerna strategi atau kaedah daripada persetujuan mereka.
Bagi subjek Pengajian Am, kaedah Pembelajaran Konstraktivisme sesuai digunakan. Hal ini berikutan, subjek Pengajian Am merupakan subjek untuk para pelajar tingkatan enam yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Oleh itu, Pembelajaran Konstraktivisme akan membantu mereka menjana idea dan berkongsi pendapat dengan rakan-rakan. Ini penting kerana subjek ini memerlukan penelitian penuh terhadap isu-isu semasa yang berlaku di Malaysia. Jika para guru Pengajian Am menggunakan kaedah Pengajaran Konstraktivisme, maka secara tidak langsung pelajar akan aktif bertanyakan soalan, menyiasat dan menggunakan pelbagai sumber untuk mendapatkan jawapan dan penyelesaian kepada sesuatu persoalan.
Seterusnya ialah kaedah Pembelajaran Berasakan Masalah. Pembelajaran Berasaskan Masalah akan membantu pelajar mencapai tahap pembelajaran yang spesifik untuk menjadikan mereka berkebolehan dan berkemampuan. Contohnya seperti dapat menyesuaikan diri dengan perubahan, dapat menghadapi pelbagai masalah dengan pemikiran kritis dan kreatif dengan mencari sebab dan akibat sesuatu masalah atau fenomena. Selain itu, pelajar juga dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan diri serta dapat bekerjasama secara berkesan dalam kumpulan. Rentetan itu, kaedah Pembelajaran Berasakan Masalah akan dapat membantu dan mempengaruhi pembelajaran mereka dengan lebih berkesan. Menurut Finley dan Torp (dalam Barrows 1999), pembelajaran berasaskan masalah juga merupakan satu sistem pengajaran dan pembelajaran yang membina secara serentak antara strategi penyelesaian masalah dan asas bidang pengetahuan serta kemahiran yang mana pelajar memainkan peranan yang aktif dalam penyelesaian masalah. Masalah yang dikemukakan adalah masalah kurang berstruktur yang diambil daripada masalah sebenar dalam kehidupan.
Bagi subjek Pengajian Am, kaedah Pembelajaran Berasaskan Masalah sangat sesuai digunakan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Oleh sebab subjek Pengajian Am banyak bertumpu kepada isu semasa maka, kaedah ini secara tidak langsung akan mengaktifkan pemikiran pelajar untuk berfikir secara kreatif dan kritis bagi menjawab persoalan yang berlaku. Contohnya, para pelajar akan diberikan isu ataupun masalah semasa pembelajaran dan fikirkan bagaimana untuk menyelesaikan masalah tersebut. Guru hanya akan membimbing pelajar agar, jawapan yang ditemui itu adalah tepat. Oleh yang demikian pembelajaran ini sesuai digunakan untuk subjek Pengajian Am di sekolah-sekolah.
Akhir sekali ialah kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek. Kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek ini didapati amat sesuai dalam konteks demokrasi dalam pendidikan kerana ia memberi autonomi yang luas kepada pelajar untuk meneroka dunia sebenar dalam menimba ilmu pengetahuan. Kaedah ini juga dapat memberi kualiti pemerolehan ilmu yang tinggi bagi pelajar melalui penglibatan aktif pelajar. Selain itu ia memberi bimbingan kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran berfikir dan keupayaan berdikari dalam membuat kajian tentang sesuatu perkara. Bagi subjek Pengajian Am di sekolah, penggunaan kaedah Pembelajaran Berasaskan Projek adalah sesuai diaplikasikan untuk pelajar tingkatan enam. Kaedah pembelajaran ini akan menjadikan seseorang pelajar itu berfikiran secara kreatif dan kritis dalam kajian yang dilakukannya. Pelajar mendapati Pembelajaran Berasaskan Projek akan menjana kefahaman tentang aspek; pelajar akan merasa pembelajaran adalah miliknya; pembelajaran atau projek akan dihargai. Selain itu juga pelajar akan rasa seronok belajar, pelajar dapat belajar dengan lebih berkesan dan pelajar dapat menumpukan penuh perhatian serta rasa lebih yakin dalam komunikasi.
4.0 Kesimpulan
Kesimpulannya Pembelajaran Konstaktivisme, Pembelajaran Berasaskan Masalah dan juga Pembelajaran Berasaskan Projek sangat sesuai digunakan oleh para pelajar Pengajian Am dalam meneroka ilmu pengetahuan. Namun Pembelajaran Penemuan merupakan pembelajaran yang kurang sesuai diaplikasikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah bagi mata pelajaran Pengajian Am. Hal ini berikutan Pembelajaran Penemuan, hanya sesuai untuk mata pelajaran sains. Ini kerana, dalam mata pelajaran sains para pelajar akan membuat eksperimen ataupun uji kaji untuk menemui satu-satu jawapan atau prinsip-prinsip baru. Oleh itu Pembelajaran Penemuan agak tidak sesuai diaplikasikan dalam pembelajaran di sekolah bagi mata pelajaran Pengajian Am. Walaupun, Pembelajaran Konstraktivisme, Pembelajaran Berasakan Masalah dan Pembelajaran Berasakan Projek sesuai diaplikasikan dalam mata pelajaran Pengajian Am, namun ia agak sukar dilaksanakan di sekolah. Hal ini berikutan setiap aras pemikiran pelajar di dalam kelas adalah tidak sama. Setiap individu mempunyai kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain. Perbezaan kecerdasan daripada pelbagai aspek menjadikan pelajar berfikir dan belajar dengan cara yang berbeza. Oleh itu ketiga-tiga kaedah pembelajaran ini tidak semestinya bersesuaian untuk semua pelajar.
Oleh yang demikian, guru haruslah memainkan peranan untuk memastikan tahap kecerdasan yang dimiliki oleh para pelajarnya. Hal ini sangat penting agar para pelajarnya tidak akan ketinggalan dalam pelajaran jika salah satu kaedah yang digunakan itu tidak berkesan. Bagi memastikan para pelajarnya tidak tercicir dalam pelajaran, untuk menggunakan salah satu kaedah pengajaran yang sesuai untuk subjek Pengajaran Am, para guru mestilah menggabungkan dua atau tiga kaedah yang sesuai dalam pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Dengan cara ini, secara tidak langsung, para pelajar tidak akan ketinggalan dalam pelajarannya kerana tahap kecerdasan seseorang pelajar dengan pelajar lain adalah berbeza-beza.
Bibliografi
Kamarudin Hj. Husin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz. (2004). Pedagogi Asas Pendidikan. Kuala
Lumpur: Kayazona Enterprise.
Ahmad Johari Sihes. (-------). Teori Pembelajaran. Diperoleh pada Oktober 20, 2010 daripada:
John Brodi. (------). Pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek: Satu Kajian Kes Teaching
School, IPTAR. Diperoleh pada Oktober 21, 2010 daripada:
ipgmktar.edu.my/index.php?option=com_docman&task...35..
Zaharatul Laili Abdul Rahim dan Ramlee Mustapha. (2007) Pembelajaran Berasaskan Masalah
Bagi Subjek Elektronik: Satu Kajian Tindakan Di Sekolah Menengah Teknik. Diperoleh pada Oktober 20, 2010 daripada: